Sunday, December 26, 2010

Kemalangan Ngeri di Kampungku

4 bersaudara maut kereta langgar pokok
PASIR MAS 26 Dis. - Hajat empat bersaudara menghadiri kelas tuisyen bersama di bandar ini tidak kesampaian apabila kesemua mereka maut setelah kereta yang dinaiki terbabas lalu merempuh pokok di Kilometer 7, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, kesemua mangsa termasuk seorang pemandu kereta, Amir Ashraf Abdul Aziz, 22, tercampak ke dalam parit besar.

Tiga daripada mereka iaitu Afik Izzuddin Abdul Aziz, 17, dan adiknya, Mohd. Irshaduddin, 13, serta sepupunya, Mohd. Ashraf Ibrahim, 11, mati di tempat kejadian akibat lemas setelah terjatuh ke dalam parit itu.

Seorang lagi mangsa, Nurul Qistina Hanafi, 11, meninggal dunia di Hospital Pasir Mas (HPM) selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala Amir Ashraf juga cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

Kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu Amir Ashraf dalam perjalanan dari rumahnya di Simpang Empat Tok Uban ke bandar Pasir Mas untuk menghantar empat sepupunya itu ke sebuah pusat tuisyen.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta jenis Peugoet 406 itu dikatakan gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di kiri jalan.

Beliau berkata, akibat rempuhan yang kuat, kesemua mangsa termasuk pemandunya tercampak keluar dan jatuh ke dalam parit yang mempunyai air sedalam kira-kira 0.3 meter.

"Tiga daripada mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada.

"Dua daripada mangsa dikejarkan ke hospital yang sama namun Nurul Qistina disahkan meninggal dunia dan pemandu kereta terbabit masih dalam keadaan kritikal," katanya.

Haliluddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap punca kejadian itu.

Tambahnya, polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, sepupu kepada keempat-empat mangsa, Roshimaliza Mazlan, 22, ketika ditemui di bilik mayat HPM berkata, kesemua sepupunya itu dalam perjalanan ke pusat tuisyen di bandar Pasir Mas kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka.

"Saya difahamkan, mereka keluar dari rumah agak lewat iaitu kira-kira pukul 7.55 malam dan kelas tuisyen tersebut akan bermula pukul 8 malam.

"Amir Ashraf yang memandu kereta mungkin dalam keadaan laju kerana hendak mengejar masa," ujarnya.

Katanya, dia yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat ketiga-tiga sepupunya berada di dalam parit.

Bapa kepada Mohd. Ashraf, Ibrahim Awang Lah, 38, pula berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana berada di Kota Bharu dan hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam.

Dia berkata, selepas dimaklumkan menerusi panggilan telefon, dia bergegas pulang dan diberitahu oleh ahli keluarga anaknya sudah meninggal dunia.

"Biasanya, saya atau abang ipar saya yang menghantar mereka semua ke pusat tuisyen tetapi kami berdua ada kerja di Kota Bharu semalam dan tidak dapat menghantar mereka semua menyebabkan Amir Ashraf terpaksa menghantar mereka,'' katanya.

Jenazah keempat-empat mangsa dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tok Uban di sini hari ini.



*********************************

Kemalangan ni berlaku tidak jauh dari rumah parent aku, dalam beberapa meter saja.
Kebetulan weken lepas aku dan family pulang ke kampung untuk menjemput anakku yg sulung setelah 3 minggu berada di kampung. Pada malam kejadian, kami anak-beranak tengah sibuk membuat persiapan untuk mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat di rumah parent aku. Tengah kami duk sibuk2 tetiba terdengar bunyi yang kuat tidak jauh dari rumah. Masyaallah....kami semua mengucap panjang bila dapat tahu sebuah kete langgar pokok dan terbalik dalam parit. 3 orang penumpang mati serta-merta manakala seorang mati di hospital dan seorang (pemandu) parah.....Pada malam tu tetamu yang datang ke rumah kami kecoh duk bercerita pasal kemalangan tu...Nauzubillah...

Semasa pulang ke KL petang semalam aku tak henti2 berdoa supaya Allah melindungi kami sepanjang perjalanan dan alhamdulillah kami selamat sampai pada pukul 10.30 mlm.

Ya Allah berilah perlindungan pada kami dan jauhkanlah segala bala dan mala petaka seumpama itu dari kami sekeluarga....Amin.

No comments:

Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Second Birthday tickers